HELL and his life.....

YESAYA26:9: "Jiwaku merindukan Engkau pada waktu malam, aku mencari Engkau dengan segenap hati, apabila Engkau menghakimi bumi kelak, penduduknya akan mengetahui makna keadilan"

Friday, April 22, 2011

Good Friday-Esther 2011 (ADAKAH HAZRAT ISA MATI DI KAYU SALIB DAN BANGKIT DARI KEMATIAN ?)

ADAKAH HAZRAT ISA MATI DI KAYU SALIB
DAN BANGKIT DARI KEMATIAN ?

A.        Apakah Kepercayaan Umat Kristian yang sebenarnya ?
 Alkitab merupakan rekod sejarah yang unggul mengenai kehidupan dan ajaran Isa Al-Masih.
Dalam 1 Korintus 15:3, 4 ada tercatat:
'Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: AlMasih mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam AlKitab. Hal ini juga tertulis di dalam AlKitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula.'
Juga di Matius 28:5-7 firman Tuhan menyatakan :
'Akan tetapi malaikat itu berkata kepada perempuan-perempuan itu : "Janganlah kamu takut: sebab aku tahu kamu mencari Isa yang disalibkan itu. Dia tidak berada di sini, sebab Dia telah bangkit sama seperti yang telah dikatakannya. Mari, lihatlah tempat Dia telah baring. Dan segeralah pergi dan katakanlah kepada murid-muridNya bahawa Dia telah bangkit dari kalangan orang mati.'
Umat Kristian sejagat telah dengan sebulat suara mencapai persetujuan mengenai akidah mereka dalam perkara ini melalui pengakuan "Syahadat Para Rasul" (Apostle's Creed) dipetik seperti berikut :
"(Isa) Yang disalibkan oleh Pontius Pilate dan dikuburkan, dan pada hari Ketiga, telah bangkit dari maut, yang terangkat ke Syurga, dan duduk di sebelah tangan kanan Allah, apabila Dia akan datang untuk menghakimi mereka yang hidup dan yang mati."
Akidah umat Kristian pun adalah berlandaskan kepada dasar-dasar dalil-dalil sejarah yang kukuh, seperti manuskrip-manuskrip lama Perjanjian Baru yang mengandungi Kitab Injil yang telah dicatat di antara 30 hingga 200 Tahun Masehi, penulisan dan catatan-catatan terawal pemimpin-pemimpin Kristian yang terkenal dan juga tulisan-tulisan sumber bukan Kristian.
Misalnya terdapat lebih dari 5,000 naskhah manuskrip lama Perjanjian Baru berbanding dengan lebih kurang 10 naskhah sahaja bagi tulisan-tulisan sejarah lama yang lain seperti karya-karya Herodotus, Caesar dan Tacitus.
B.        Rujukan dan ramalan-ramalan di dalam  Firman Allah yang bernubuat tentang kematian al-Masih.
Cerita-cerita mengenai kematian Hazrat Isa di kayu salib itu terdapat di dalam keempat-empat tulisan Injil yang masing-masing telah ditulis oleh Matius, Markus, Lukas dan Yahya (Yohanes), mereka ini ialah hawariyun dan sahabat kepada al-Masih yang karib. Mereka ini juga merupakan saksi-saksi utama kehidupan Isa-al-Masih dan segala peristiwa-peristiwa yang dilaluinya. Kesaksian dari keempat-empat penulis Injil ini merupakan kesaksian dengan mata kepala mereka sendiri, di mana mereka sendiri telah menyaksikan segala-sesuatu yang kena-mengena dengan kehidupan Hazrat Isa. Menurut Hukum Taurat, kesaksian dua atau tiga orang yang telah melihat dengan mata mereka sendiri sesuatu peristiwa adalah mencukupi bagi mengesahkan hakikat peristiwa itu (Ulangan 17:6-7). Sebab itulah kesaksian dari keempat-empat penulis Injil ini bahawa Hazrat Isa telah disalib dan meninggal dunia merupakan satu kesaksian yang sahih menurut hukum Taurat.
Terdapat bukti kukuh dari kesaksian Yahya, seorang lagi pengikut Hazrat Isa dari rujukan Yahya 19:24-25. Yahya telah mencatit kesaksiannya iaitu selepas Isa telah disalibkan "Seorang parajurit menikam lambungNya dengan tombaknya, dan seterusnya darah dan air telah mengalir keluar."
Hal ini sungguh menghairankan bagi Yahya sehingga dia terdorong untuk mencatit bahawa "Orang yang melihat hal itu sendiri yang memberikan kesaksian ini dan kesaksiannya benar, ia tahu, bahawa dia mengatakan kebenaran (nya)."
Hari ini, para ahli sains dan doktor telahpun mendapati bahawa hal pengaliran darah dan air dari tubuh adalah akibat dari penyaliban dan kehancuran jantung orang yang disalib. Apabila Yahya telah mencatit darihal pengaliran keluar darah bercampur dengan air dari tubuh Hazrat Isa, dia tidak mungkin memahami implikasi dan maksudnya kejadian itu, akan tetapi pada hari ini, melalui kajian sains dan perubatan moden kita dapat mengesahkan bahawa peristiwa itu merupakan dalil yang kukuh bahawa hazrat Isa telah benar-benar mati di atas kayu salib.
Bukti yang lain pula ialah bahawa jika sekiranya orang yang disalib itu bukanlah Hazrat Isa, maka tidaklah mungkin bagi dia mengeluarkan kata-kata yang penuh kasih seperti sifat yang tabii kepada Isa Al-Masih, misalnya:
"Bapa, ampunilah mereka sebab tidak diketahuinya apa yang diperbuatnya." Dan kalimatnya : " Sudah digenapi..!" Semua ini menunjukkan dengan sungguhnya bahawa yang mati tersalib itu tidak lain dan tidak bukan hazrat Isa sendiri.
Kesaksian yang lain dapat juga ditambahkan, bahawa waktu Hazrat Isa dinyatakan mati oleh kepala pasukan, maka Yusuf dari Arimatea datang kepada Pontius Pilatus untuk meminta mayat tersebut untuk dikuburkan. Permintaan itu dikabulkan (Markus 15:24-26). Seandainya yang diturunkan dari Salib itu bukan Hazrat Isa, pastilah Yusuf Arimatea menolaknya atau memberikan keterangan ketidakbenarannya itu.
Bukti lain lagi, adalah orang Yahudi meminta kepada Pontius Pilatus agar kuburan Hazrat Isa dijaga. Permintaan ini pun dibenarkan. Seandainya yang dikuburkan itu bukanlah Hazrat Isa, tidak mungkin orang Yahudi itu menjagai kuburnya itu. Hal ini berlaku kerana Isa pernah mengatakan bahawa pada hari ketiga dia akan bangkit hidup kembali dari kalangan orang mati.
Penyaliban AlMasih telah dinubuatkan oleh para Allah beratus-ratus tahun sebelum berlakunya. Ini menjadikan persitiwa itu satu-satunya dalam sejarah manusia. Umpamanya:-
Raja Daud dalam Mazmur 22 telah bernubuat tentang:
  • Seruan Hazrat Isa kepada Allah (ayat 2 berbanding dengan Matius 27:46) -- Ejekan para penonton (ayat 9 berbanding dengan Matius 27:43)
  • Pakaian Hazrat Isa (ayat 19 berbanding dengan Yohanes 19:24)
Nabi Yesaya bukan sahaja bernubuat tentang penyaliban Hazrat Isa tetapi juga memberi sebab-sebab berlakunya; Hazrat Isa sendiri mengesahkan nubuatan Nabi Yesaya dalam ucapanNya di Lukas 22:37 (dan Lukas 23:34). Bandingkan dengan Yesaya 53:12.
C.        Bukit-Bukti Alkitabiah Untuk Kebangkitan Al-Masih
1.           Kubur yang kosong (Matius 28:6; Lukas 24:3)
Tubuh Hazrat Isa telah dibalut dengan 100-paun lebih minyak dan rempah-ratus. Sebuah batu besar seberat 1 1/2 - 2 tan menutup pintu kubur dan satu pasukan pengawal keselamatan menjaga kuburNya. Tetapi sesuatu telah berlaku. Selepas 3 hari kubur itu menjadi kosong. Ini satu kenyataan sejarah. Hanya kebangkitan Hazrat Isa dapat menjelaskan kejadian ini.
2.           Hazrat Isa telah menampakkan diri kepada orang selepas kebangkitanNya
·                     Mariam dari Magdalena (Markus 16:9)
·                     Perempuan-perempuan lain (Matius 28:9)
·                     Murid-muridNya (Yohanas 20 19:26,21:1)
·                     500 dari pengikutNya (1 Korintus 15:6)
·                     Paulus semasa ia diselamatkan (Kisah Rasul 9:5, 1 Korintus 15:8)
Dia telah bercakap dengan mereka, makan dan minum dengan mereka, menunjukkan luka-lukaNya dan dengan banyak tanda-tanda yang lain membuktikan bahawa Dia hidup kembali. Pengalaman semua orang ini tidak mungkin suatu hasil khayalan.
3.           Pengikut-pengikut Hazrat Isa yang pertama berkumpul pada hari pertama setiap minggu untuk berbakti kepada Allah dan sembahyang (Kisah 20:7). Pasti ada sebab yang baik mengapa para hawariyun dan rasul-rasul Isa-sebagai kaum Yahudi yang alim dan setia, rela menggantikan Hari Ibadat Sabat mereka, yang jatuh pada hari Sabtu ("Sabat", Sabtu) dengan hari minggu yang ketujuh (Ahad) untuk beribadat. Sebab gentingnya mestilah berlandaskan kepada peristiwa Kebangkitan Isa AlMasih pada pagi hari Ahad. (Markus 16:1-2). Hari ini menandakan kemenangan Hazrat Isa keatas kematian, dosa dan iblis. Dan rancangan Allah bagi penebusan manusia telahpun selesai. Penebusan ini ini memberi aman dan keselamatan yang sempurna kepada setiap mereka yang beriman.
4.           Akhirnya, kita boleh percaya akan kebangkitan Hazrat Isa bila kita lihat perkembangan sidang jemaah Tuhan. Orang Kristian yang pertama itu tidak ragu-ragu dalam kepercayaan mereka kepada Hazrat Isa meskipun dianiayai, malah ada yang telah dibunuh. Sidang jemaah gereja telah berkembang dengan pesatnya bukan kerana paksaan sosial, habuan dan ganjaran-ganjaran tertentu seperti wang dan kekayaan atau kepentingan politik. Apakah yang begitu menyakinkan Iman umat Kristian yang pertama ini jika bukan hakikat kebangkitan hazrat Isa dari maut, kenampakanNya kepada saksi-saksi yang boleh dipercayai dan hadirat Roh Kudus bersama dengan mereka yang melakukan mukjizat dan perkara-perkara yang luar biasa?

D.       Bukti-Bukti dari sumber-sumber bukan Kristian mengenai Kematian dan Kebangkitan Hazrat Isa AlMasih
Seorang ahli sejarah Yahudi berwibawa yang bernama Josephus dalam bukunya "Jewish Antiquities' (Buku Purba orang-orang Yahudi) yang ditulis di antara 90 - 95 T.M. mencatatkan tentang penyaliban AlMasih dan kebangkitan AlMasih.
Juga Tacitus, seorang ahli sejarah Romawi yang menulis dalam tahun 115 T.M. mengatakan nama Kristian ini berasal daripada AlMasih (B.Yunani="Kristus") yang telah disalibkan semasa pemerintahan Tiberius oleh wakil berkuasanya Pontius Pilatus di wilayahnya.

E.        Apakah kepercayaan orang Islam mengenai Kematian dan Kebangkitan Hazrat Isa AlMasih.
Kebanyakan orang Islam meragui bahwa Hazrat Isa AlMasih telah disalibkan. Mereka menggunakan nas Quran S. An Nisa a.157 yang mengatakan:
"Dan kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Almasih Isa anak Maryam seorang Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuh dan tidak menyalibnya, melainkan orang yang diserupakan dengan dia. Sesungguhnya orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa itu benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu."
Tetapi kebenaran ayat ini boleh dipertikai dan dipersoalkan. Nabi Muhammad di sini cuba menjawab pengakuan orang Yahudi bahawa mereka telah membunuh Isa Almasih, Putera Maryam.
Tetapi terdapat beberapa tafsiran yang salah dalam ayat ini. Pertama, orang Yahudi tidak mengakui Hazrat Isa sebagai Almasih (Mesias). Dan kedua, bukan orang Yahudi yang telah menyalibkannya tetapi askar-askar Romawi.
Namun ada petikan-petikan dalam Quran yang mengatakan sebaliknya: Menurut Quran, Muhammad menerima wahyu tentang ucapan Hazrat Isa seperti yang demikian:
"Selamatlah diriku ketika dilahirkan dan ketika mati dan ketika berbangkit kembali hidup" (Q. Maryam 33)
Nas asalnya : "Wassalaamu'ala yauma wulidtu wa yauma amutu wa yauma ub'asyu hayya."
Dengan kata "ub'asyu hayya" (bangkit hidup kembali) adalah merupakan kehidupan yang nyata sesudah mengalami kematian (amutu) yang nyata pula.
Di Surat All Imran 55:
"(Ingatlah) ketika Allah berfirman: 'Ya, 'Isa, sesungguhnya Aku membuat engkau mati ('inni mutawaffiika') dan meninggikan (darjat) engkau kepadaKu…"
Berdasarkan ayat-ayat Quran ini jelaslah bahawa Hazrat Isa memang telah mengalami kematian yang nyata walaupun kematiannya di kayu salib diragui oleh majoriti orang Islam.
Ada beberapa teori yang dikemukakan oleh orang islam untuk menjelaskan bahawa tidak wajar bagi Hazrat Isa mati di kayu salib.

1.           Teori Penggantian
Teori penggantian ini mengatakan Yudas Iskariot yang dijadikan merupai Hazrat Isa, disalibkan mengganti tempatnya. Teori ini terdapat dalam Injil Barnabas "Injil" ini adalah satu kepalsuan (menurut umat Islam mahupun Kristian). Teori ini tidak ada di dalam Quran. Maka ia satu tekaan dan rekaan sahaja. Ada pihak yang mengatakan seorang lain yang mati mengganti tempat Hazrat Isa. Teori ini juga bertentangan dengan bukti-bukti yang ada. Ia tidak mengambil kira hal kubur yang kosong (apa yang telah terjadi kepada mayat pengganti itu?) dan kenampakan Hazrat Isa yang disaksikan oleh beratus-ratus orang (siapakah yang dilihat oleh saksi-saksi itu?). Teori ini juga membawa implikasi bahawa Allah rela dengan sengajanya mengelirukan orang ramai dengan penipuan ini.
2.           Teori Pengsan
Teori ini mengatakan Hazrat Isa diturunkan dari kayu salib dalam keadaan pengsan dan kesihatannya pulih kemudian. Walaupun teori ini dipelopori oleh Ahmed Deedat, ia berasal dari gerakan Ahmaddiya yang dianggap sebagai kumpulan ajaran sesat oleh orang Islam.
Menurut Mizra Ghulam Ahmad dari Qadian, "Hazrat Isa tidak mati atas kayu salib tetapi dibawa turun oleh murid-muridNya dalam keadaan pengsan dan telah sembuh selepas 40 hari oleh minyak bermukjizat bernama Parsi 'Marham-I-Isa'. Hazrat Isa kemudian mengembara ke timur dalam satu misi. Misinya yang dianjurkan oleh Ahmad, adalah kepada orang Afghanistan dan Kashmir. Hazrat Isa kemudian mati pada umur 120 tahun dan dikuburkan di Srinagar, ibu kota Kashmir." Teori ini ditolak dan dikutuk oleh orang Islam.
Menurut Alkitab, Hazrat Isa mati selepas disalibkan (Kisah rasul 2:23). Menurut penilaian askar-askar Yusuf dan Nikodemus, Hazrat Isa sudah mati diatas kayu salib. Yohanes 19:33-34, 38-40; Markus 15:43-46. Kalaulah benar Hazrat Isa setakat pengsan, tidak mungkin:
o        Dia menahan kesejukan dalam kubur itu tanpa rawatan perubatan.
o        Dia melepaskan diri dari kain yang begitu berat dan bergulung ketat mengeliling badannya tanpa merombaknya (Lukas 24:12).
o        Dia menggulingkan batu besar dari pintu kubur, mengalahkan satu pasukan pengawai dan melarikan diri tanpa dilihat.
o        Dia berjalan 7 batu ke Emmaus dalam keadaan lemah dan kaki yang cedera.
Jika Hazrat Isa benar-benar bangun dari keadaan pengsan, dia menjadi pembohong dan penipu kerana dia tidak menegah murid-muridNya daripada mengajar bahawa Dia telah bangkit dari kematian.
Maka adalah amat sukar untuk menerima tafsiran dan tanggapan yang lazim dipelopori nas-nas al-Quran mengenai kewafatan Hazrat Isa. Jikalau benar hazrat Isa tidak disalibkan, al-Quran juga kurang jelas mengenai apa yang telah berlaku kepada beliau.
Ada banyak rujukan-rujukan al-Quran pula yang boleh ditafsir sebagai Hazrat Isa telah disalib, seperti yang diakui oleh umat Ahmadiyya, dan kini, oleh segelintir umat Islam pula.
F)           Mengapa Hakikat Kewafatan dan Kebangkitan Hazrat Isa al-Masih Penting bagi umat Kristian ?
Petrus, seorang rasul dan hawariyun terlah bertulis di dalam 1 Petrus 2:24 "Dia sendiri telah memikul dosa kita di dalam tubuhNya di kayu salib, supaya kita yang telah mati terhadap dosa, kini hidup untuk kebenaran."
Maka Hazrat Isa disalibkan bukan kerana beliau telah berbuat dosa tetapi dia telah dipilih menjadi korban mati untuk meyelamatkan kita semua dari hukuman dan kuasa dosa, agar kita dapat memperolehi hak kehidupan yang kekal di alam Syurgawi.
1 Korintus 15:17-19 mengatakan:
"Dan jika Al-Masih tidak dibangkitkan, maka sia-sialah kepercayaan kamu dan kamu masih hidup dalam dosamu. Demikialah binasa juga orang yang mati dalam al-Masih. Jikalau kita hanya dalam hidup ini saja menaruh pengharapan pada Isa al-Masih, maka kita adalah orang yang paling dari segala manusia."
Jikalau Isa Hazrat itu wafat dan terus wafat, dan sekarang pun ada kuburannya, apa guna orang Kristian percaya kepada al-Masih yang masih mati. Apakah gunanya umat Kristian dibaptiskan atas nama al-Masih yang sudah mati. Apa gunanya meminta syafaat dari seorang yang mati. Dan malah tidak masuk akal kalau pada hari ini orang Kristian mengambil seorang yang mati sebagai juruselamatnya, sedangkan simati itu sendiri tidak selamat kerana dia masih di dalam kubur.
Tetapi kerana kasih Allah maha kuasa, wafatnya Hazrat Isa adalah untuk kehidupannya kembali. Kini Beliau akan hidup selama-lamanya. Kebangkitan Hazrat Isa al-Masih ini, iaitu hidup kembali dari kalangan orang yang sudah mati, bukanlah satu khayalan tetapi satu kenyataan yang telah dilihat dan disaksikan oleh orang ramai.
Kewafatan dan Kebangkitan Isa itu merupakan kesaksian iman Gereja dunia sejagat. Kita sekarang memiliki iman yang penuh pengharapan. Penyelamat kita akan hidup selama-lamanya. Iman kita berdasarkan kepada kasih sayang Allah. Kita telah mewarisi janji-janji Allah bersama-sama dengan al-Masih serta menderita bersama-sama dengan Dia, dan juga akan dipermuliakan bersama-sama dengan Dia (Roma 8:17)
Oleh itu yakinlah, bahawa kita sebagai pengikut Isa al-Masih akan dibangkitkan dari segala jenis kematian (iaitu kematian jasmani dan rohani)
G) RINGKASAN
Umat Kristian percaya Isa al-Masih telah disalibkan lebih kurang 2000 tahun yang lepas. Selepas 3 hari, Dia telah bangkit dari kematian untuk membuktikan ke-TuhananNya.
Kita boleh membicarakan kebenaran peristiwa kematian dan kebangkitan Hazrat Isa dengan memeriksa keterangan saksi-saksi yang terlibat dengan peristiwa ini.
Ibu Hazrat Isa dan rasul Yahya mengikuti secara dekat peristiwa ini (Yahya 19:25-27). Pontius Pilatus, pemimpin kerajaan Romawi di wilayah Yudea dan Yusuf Arimatea tidak menunjukkan sebarang keraguan bahawa orang yang disalibkan itu adalah Isa al-Masih. Malahan peristiwa ini menjadi tumpuan seluruh Kota Baitulmuqaddis pada waktu itu.
Ramai orang telah melihat Hazrat Isa hidup kembali. Hazrat Isa telah bersama dengan murid-muridNya selama 40 hari sebelum Dia berangkat ke syurga (Kisah Para Rasul 1:3). Pada satu ketika, Hazrat Isa telah menampakkan diriNya kepada 500 pengikut-pengikutNya. Hanya kebangkitan Hazrat Isa dapat menjelaskan mengapa mayatNya tidak dijumpa dan kuburNya menjadi kosong.
Walaupun orang Islam menafikan kebenaran kematian dan kebangkitan Isa al-Masih, mereka tidak dapat menepikan bukti-bukti dalam Alkitab dan sejarah mengenai peristiwa ini. Malahan ada bahagian dalam Quran yang mengaku kematian dan kebangkitan Isa al-Masih.
Akhir kata, peristiwa ini adalah satu kenyataan sejarah yang disokong dengan bukti-bukti yang kukuh.


No comments:

Post a Comment